Sukar untuk menggambarkan perasaan menyaksikan tanah air sendiri mengecil menjadi sangkar. Mengetahui keluarga masih terperangkap di dalam - sesak di sudut sempit yang sudah pun menjadi antara tempat paling padat di dunia.
Mendengar suara ibu menggeletar ketika berkata mereka sudah tiada tempat untuk lari. Tidak ke utara. Tidak ke selatan. Tidak ke timur. Bahkan tidak ke laut kerana laut kini hanya membawa dengung kapal perang dan gema letupan. Inilah Gaza sekarang: wilayah yang telah bertukar menjadi perangkap.
Dalam bulan-bulan terakhir, hampir dua juta rakyat Palestin telah dipaksa masuk ke cebisan tanah yang sememangnya sudah sempit. Gaza hanya seluas 365 kilometer persegi. Bererti lebih 2.3 juta orang sedang dikepung dalam kawasan kurang 120 kilometer persegi. Kepadatan penduduk hampir 20,000 orang per kilometer persegi - lebih sepuluh kali ganda London, lebih padat daripada mana-mana bandar besar di dunia.
Sekolah menjadi asrama, lantai dikongsi orang asing, roti menjadi kenangan. Tiada lagi khemah. Tiada air bersih. Tiada makanan. Dan tiada kesunyian.
Ketika menelefon keluarga di Gaza - mereka yang terselamat dari serangan udara Israel terkini - yang kedengaran hanyalah kekacauan: tangisan bayi, bunyi letupan dari jauh, dengungan periuk kosong.
Anak saudara perempuan saya berkongsi satu tingkat dengan sebelas orang lain di sekolah bukan dibina untuk didiami. Sepupu saya, ayah kepada empat anak, menghantar mesej minggu lepas: "Kami beratur dua jam untuk sepotong roti basi. Kami minum air dari lopak. Israel melaparkan kami, kemudian membom kami lagi."
Tiada berlebih-lebihan di sini. Tidak perlu kiasan. Inilah yang kami maksudkan dengan "kem tahanan."
Ya, saya menggunakan istilah itu kerana apa lagi namanya apabila suatu populasi dihimpit ke dalam ruang yang semakin sempit, dinafikan makanan, air dan ubat-ubatan, dibom tanpa jalan keluar atau kelegaan. Ini bukan sekadar perang. Apa lagi namanya apabila sebuah negara merangka sistem bukan sekadar untuk kawalan, tetapi untuk pengurungan dan pemusnahan secara sistematik?
Kalau dikaji sejarah, orang teragak-agak menggunakan istilah itu demi menghormati kekejaman Holocaust. Tetapi jika kita ingin menghargai sejarah, kita mesti belajar daripadanya.
Di Jerman Nazi, kem tahanan seperti Sachsenhausen dan Dachau dibina untuk mengasingkan, mengawal dan akhirnya memusnahkan kelompok yang dianggap tidak diingini rejim.
Gaza hari ini lebih padat daripada Dachau. Namun penduduknya terperangkap dalam penjara terbuka yang dindingnya dibina oleh sejarah dan sikap acuh tak acuh.
Logik struktur yang serupa dengan kem tahanan
Kepadatan: Auschwitz pada puncanya memaksa 1,200 orang masuk ke barak yang dibina untuk 700 orang. Koridor selatan Gaza kini menampung hampir dua juta orang di ruang yang tidak direka untuk kepadatan sedemikian. Ia adalah tempat mampatan tanpa belas kasihan.
Tempat tinggal: Di Auschwitz, tahanan tidur di atas jerami - baris demi baris, bahu ke bahu. Di Gaza, mereka yang bertuah mendapat khemah tidur di atas tanah. Yang lain berehat di bawah khemah plastik, atau langit terbuka. Tiada privasi. Wanita menyusukan bayi di kalangan orang asing. Keluarga berlindung di bawah runtuhan.
Kebersihan: Tandas di Auschwitz agak kasar tetapi wujud. Di Gaza, air kumbahan meresap masuk ke tempat perlindungan sementara. Longgokan sampah membusuk tanpa pengumpulan. Air tidak boleh diminum. Kanak-kanak mandi dalam lopak, sering kali yang sama tempat haiwan membuang air. Penyakit merebak, tanpa kawalan dan pengakuan.
Keruntuhan Perubatan: Di Auschwitz, penyakit adalah sebahagian sistem. Begitu juga di Gaza. Lebih 1,400 pekerja kesihatan terbunuh. Hospital dibom atau kehabisan bahan bakar. Kanak-kanak mati akibat luka yang tiada siapa lagi untuk merawat. Kubur besar menjadi ritual harian.
Bukan kerosakan sampingan
Setelah memaksa rakyat Palestin keluar dari utara dan tengah Gaza, Israel menyalurkan mereka ke selatan, menjanjikan keselamatan. Tetapi Rafah dan Khan Younis menjadi sasaran.
Tentera Israel membom kawasan yang diisytiharkan sebagai "zon selamat." Mereka mengenakan sekatan penuh ke atas makanan, air, ubat-ubatan dan bahan bakar. Dan setelah gencatan senjata yang singkat, mereka mengebom kembali.
Sejak itu, ribuan terbunuh. Ribuan lagi cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Skala penderitaan tidak terbayangkan, tetapi ia bukan tidak disengajakan. Ini bukan kerosakan sampingan. Ini semua taktik.
Saya tidak berhenti memikirkan ayah saya yang hidup melalui Nakba pada 1948 dan selalu berkata, "Mereka mengambil tanah kita, tetapi tidak semangat kita." Dia biasa berjalan di kebun zaitun semasa kecil, berkaki ayam dan bangga. Kini dia berusia 80 tahun, terbaring di atas tilam nipis dalam khemah, menyaksikan kebun yang sama diratakan - dan cucu-cucunya menjadi pelarian sekali lagi, kali ini di atas runtuhan rumah mereka sendiri.
Ada yang menamakannya pembersihan etnik. Yang lain menamakannya genosid. Saya menamakannya apa yang dirasa hati: pemusnahan perlahan-lahan satu bangsa, dengan dunia hanya memerhati dari tepi. Gaza bukan sekadar dikepung. Gaza sedang dihapuskan.
Saya tahu betapa beratnya kata-kata ini. Saya tidak menulisnya sembarangan. Tetapi saya menulis kerana sudah jemu dengan bahasa halus. Jemu dengan naratif "kedua-dua pihak" yang kosong. Jemu berpura-pura.
Saya menulis kerana adik-beradikku tidak lagi mempunyai rumah. Anak-anak saudaraku tidak lagi mempunyai sekolah. Ibu bapaku tidak lagi mempunyai hospital. Bangsaku tidak lagi mempunyai masa depan—melainkan kita mula gunakan perkataan yang sebenarnya.
Ini sebuah kem tahanan. Dan kita hanya biarkan ia berlaku.