Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di Mexico mengumumkan penutupan empat buah pejabatnya di negara itu pada Selasa.
Menurut Wakil UNHCR di Mexico Giovanni Lepri, pemotongan bantuan luar negara oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump merupakan punca utama penutupan pejabat-pejabat itu.
Katanya, penutupan itu berlaku selepas belanjawan untuk operasi agensi di Mexico dipotong sebanyak 60% oleh pentadbiran Trump.
Lebih 190 pekerja telah diberhentikan dan pejabat-pejabat ditutup di negeri Jalisco dan Chiapas. Chiapas, yang terletak di sempadan tenggara Mexico berdekatan Guatemala, kehilangan dua pejabat, masing-masing di bandar Palenque dan Tenosique.
Wilayah tersebut memainkan peranan penting dalam aliran migrasi di Hemisfera Barat, dengan 67% permohonan suaka pada tahun 2024 difailkan di Chiapas sahaja.
Sejak memulakan penggal pentadbiran pada 20 Januari, Presiden Trump memberi keutamaan kepada pemotongan perbelanjaan awam. Tindakan ini dilaksanakan melalui penubuhan jabatan baharu, iaitu Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diketuai oleh jutawan Elon Musk.
Jabatan tersebut mensasarkan apa yang dianggap sebagai perbelanjaan tidak perlu, termasuk bantuan luar negara.
Trump sebelum ini berjanji untuk menghapuskan AS$60 bilion bantuan asing AS dan membubarkan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID). Bantuan luar AS selama ini memainkan peranan penting dalam menyokong pelarian yang transit dan menetap semula di Mexico.
Menurut laporan pembiayaan terkini UNHCR pada November 2024, AS menyumbang sebanyak 86% daripada belanjawan operasi agensi itu di Mexico, bersamaan dengan AS$58 juta bagi tahun fiskal sebelumnya.
Kerajaan Mexico pada Selasa turut melaporkan bahawa 38,757 individu telah dihantar pulang ke Mexico sejak Trump memegang jawatan, termasuk 33,311 warganegara Mexico dan 5,446 warga asing.
SUMBER: AA