Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio memberi amaran Washington mungkin akan menghentikan usahanya untuk menjadi perantara damai di Ukraine sekiranya tiada perubahan jelas dalam beberapa hari akan datang.
“Jika perang di Ukraine tidak dapat ditamatkan, kita perlu teruskan hidup,” katanya kepada wartawan selepas pertemuannya dengan pemimpin Eropah di Paris pada Khamis.
“Ini bukan perang kita. Kita tidak memulakannya. Amerika Syarikat telah membantu Ukraine sejak tiga tahun lalu dan kami mahu ia berakhir, tetapi ini bukan perang kita,” kata Rubio.
Beliau menegaskan, walaupun Presiden AS Donald Trump masih komited untuk meneruskan usaha damai, negara itu perlu memberi tumpuan kepada isu global yang lain.
“Presiden telah menghabiskan 87 hari di peringkat tertinggi kerajaan ini dan berusaha berulang kali untuk menamatkan perang ini. Kini kami perlu membuat keputusan dan menentukan sama ada ia masih boleh dicapai atau tidak. Sebab itulah kami berunding dengan kedua-dua pihak,” tambah Rubio.
Rubio, yang diiringi Utusan Khas Presiden Keith Kellogg dan Utusan Timur Tengah Steve Witkoff, mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan Eropah dan Ukraine pada Khamis di Paris mengenai cara-cara untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine.
SUMBER: TRT World & Agensi