Gempa bumi 6.2 magnitud gegar Istanbul semasa acara kebangsaan
Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.2 melanda bandar terbesar Turkiye, di Istanbul, pada jam 12:49 tengah hari waktu tempatan pada Rabu.
Ketika kejadian, Turkiye sedang menyambut Hari Kedaulatan Negara dan Hari Kanak-Kanak dimana ramai pelajar meraikannya di sekolah.
Gempa bumi kuat tersebut menyebabkan penduduk Istanbul panik dan berada dalam ketakutan, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila ahli keluarga cuba mencari satu sama lain.
Menurut data yang dikeluarkan agensi pengurusan bencana Turkiye, lebih 230 orang cedera, kebanyakannya disebabkan panik, manakala kira-kira 300 panggilan kecemasan diterima berkaitan laporan keadaan bangunan.
Gegaran pertama yang terjadi selama 13 saat itu diikuti oleh lebih 180 gempa susulan, dengan yang terkuat mencatatkan magnitud 5.9.
Susulan kejadian itu, kerajaan Turkiye dan institusi berkaitan mengadakan mesyuarat tergempar bagi menilai keadaan dan menyelaras usaha menyelamatkan rakyatnya.
IOM: 90% rumah Gaza rosak teruk, musnah
Kemusnahan di Gaza semakin parah dengan lebih 90% rumah musnah atau rosak, menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa yang memetik data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Bukan hanya ramai keluarga terperangkap dalam runtuhan, malah penutupan sempadan oleh Israel sejak 2 Mac telah menyekat bantuan kritikal daripada memasuki Gaza.
Israel mengenakan sekatan penuh ke atas wilayah bergolak itu, tanpa kebenaran keluar masuk diberi, walaupun terdapat laporan tentang orang ramai kebuluran.
"Dengan tiada tempat yang selamat untuk dituju, semua keluarga berlindung dalam runtuhan yang tidak selamat," kata agensi itu di platform media sosial X.
Pada 18 Mac, Israel meneruskan serangannya, sekali gus merencatkan gencatan senjata dan menyebabkan angka kematian rakyat Palestin melonjak kepada 62,000 nyawa —kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Benin sahkan 54 askar terbunuh dalam serangan
Pihak berkuasa di Benin mengesahkan 54 askar terbunuh pada 17 April dalam serangan yang diselaraskan oleh kumpulan bersenjata di utara negara itu.
Serangan itu menyasarkan kedudukan tentera berhampiran Benin, Niger, dan Burkina Faso, dan Air Terjun Koudou.
Jurucakap kerajaan Wilfried Leandre Houngbedji menjelaskan jumlah kematian tidak mencecah angka ratusan seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Tindak balas tentera membunuh 33 penyerang, dengan kedua-dua pihak mengalami kecederaan.
Houngbedji menekankan keperluan logistik ketenteraan yang lebih kukuh dan kerjasama serantau untuk memerangi ancaman keganasan yang berterusan.
Ribuan berkumpul di Basilika St. Peter untuk pengebumian Pope Francis
Puluhan ribu orang yang berkabung mengucapkan selamat tinggal kepada Pope Francis di Basilika St Peter, di mana jasadnya ditempatkan di dalam keranda terbuka selama tiga hari.
Pope Francis, yang meninggal dunia pada Isnin pada usia 88 tahun, memakai jubah rasminya, serta tasbih di tangan.
Jemaah penganut Kristian dan pelancong mula beratur awal untuk memberi penghormatan terakhir mereka.
Perarakan kardinal turut mengiringi kerandanya ke basilika ketika orang ramai berkumpul di Dataran St Peter, sementara pemimpin dunia bersiap sedia untuk pengebumian pada Sabtu.
Cannes dijangka beri penghormatan kepada wartawan Palestin Fatima Hassouna
Festival Filem Cannes dijangka memberi penghormatan kepada wartawan foto Gaza, Fatima Hassouna dengan tayangan 'Put Your Soul on Your Hand and Walk' pada bulan depan.
Diarahkan oleh Sepideh Farsi, dokumentari itu merakamkan karya hebat Hassouna yang mendokumentasikan serangan tanpa henti oleh Israel ke atas rakyat Palestin dalam perang pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Hassouna terbunuh pada minggu lalu dalam serangan udara oleh Israel yang meragut nyawa 10 ahli keluarganya.
Penganjur festival itu melahirkan rasa dukacita serta berikrar tayangan itu akan meraikan legasinya dan mesej filem itu.
Ia akan ditayangkan pada 15 Mei di bahagian ACID Cannes.